Isnin, 30 Mei 2011

Tanaman Anggur

Minggu lepas aku baru je selesai cantaskan 2 pokok anggur ku yang ku tanam dalam pasu depan rumah. Minggu ini dah keluar tunas baru dan berserta dengan bunga sekali. Ini merupakan kali ke3 pokok anggurku berbunga setelah 2 kali pernah berbuah sampai masak walaupun tak banyak gugus buahnya. Diharapkan kali ini buahnya lebih banyak dari sebelum ini. Buat masa sekarang hanya satu pokok yang sudah mengeluarkan bunga dari jenis White Malaga manakala satu pokok lagi belum menunjukkan putik bunga tapi dari jenis yang lain iaitu Australian Red.

Dari pucuk baru terus keluar putik bunga.


Baru seminggu di trim dah keluar bunga baru.

Nak tau berapa banyak bunganya yang akan jadi kita kena tunggu beberapa minggu lagi......

5/5/2011 - Perkembangan terkini anggurku  masuk minggu ke 2 selepas pemangkasan besar-besaran.
Walaupun tidak banyak kuntum bunganya tetapi kemunculan kudup bunga dari mula ini cukup memberangsangkan. Ini menambahkan keyakinan ku bahawa pohon anggur sememangnya boleh di tanam di Malaysia malah dalam pasu sahaja.

Dalam pada itu sempat juga  menyemai anak benih baru melalui keratan batang untuk memperbanyakkan lagi jumlah pokok anggur di halaman rumah ku di samping memenuhi permintaan rakan-rakan untuk memiliki pokok anggur di rumah mereka juga. 


Pandangan jarak jauh sedikit pokok anggur dalam pasu yang sedang berbunga.


Kudup bunga yang baru untuk musim yang ketiga.


Pandangan jarak dekat kudup bunga yang sihat.


Satu lagi kudup bunga anggur saya.




Ahad, 29 Mei 2011

Trip 28/5/2011

Akhirnya hajat nak merasa tarikan ikan tenggiri saiz lebih 4 kg tercapai dalam trip kali ini. Rupanya menjadi kebiasaan dalam 10 kali strike ikan tenggiri ini pasti dalam 4-5 daripadanya akan rabut atau putus... walau apapun gambar menerangkan segalanya......






Isnin, 23 Mei 2011

Gerakan Pendesak : Sudut Pandangan Ilmiah

Kita agak terkejut dengan suara-suara atau desas-desus yang bertiup sekitar bandar Kuching dan kawasan pinggirannya sejak kebelakangan ini. Suatu berita yang tak pernah terfikir akan berani untuk dilontarkan dari mulut rakyat negeri ini sejak awal kemerdekaan Malaysia. Suatu kemahuan yang dengan berani dilempar melalui rapat-rapat umum dan helaian-helaian 'pemplet' serta media yang tak bersempadan iaitu internet atau blog-blog.

"Betulkah cerita awak ni...." tanya saya kepada beberapa rakan yang turut terpanggil dengan gelombang tersebut iaitu desakan sesetengah pihak agar Ketua Menteri Sarawak melepaskan jawatan secepat mungkin.
"Ish......takkanlah sampai macam tu..." sergah saya lagi. Semacam tidak percaya perkara begini akan berkumandang di telinga rakyat Sarawak.......

Sudah lunturkah semangat kesetiaan kepada Raja dan Negara di kalangan kita.... atau apakah menjadi hak mutlak sepenuhnya rakyat atau yang dipimpin mempersoalkan pemimpin. Atau adakah ini yang dinamakan Hak Asasi Manusia yang diperjuangkan oleh barat yang kini meresap kedalam jiwa dan sanubari rakyat kita dari leluhur yang sekian lama terkenal dengan ketaatan kepada pemerintah.....?

Bercakap tentang ketaatan kepada pemimpin dari perspektif Sarawak, teringat di zaman ketika moyang saya masih hidup dulu saya masih ingat betapa beliau sangat menitik beratkan tentang apa saja yang berkaitan dengan arahan dari Queen Alizaberth. Ini menunjukkan betapa rakyat Sarawak sedari dulu telah dibentuk dengan baik. Begitu juga semasa zaman pemerintahan keluarga Brooke. (bersambung....)

Ahad, 22 Mei 2011

Trip Memancing penghujung Mei ini......

"Dah gatal tangan kamek tuk pok......" jerit jiran saya dua hari lepas sebaik saja saya angkat tangan menyapa setibanya saya kerumah petang tersebut. Begitulah gelisahnya hati seorang pemancing seperti kami apabila dah terlalu lama sangat tak turun kelaut. Seingat saya dah hampir 10 bulan tak pergi memancing ke laut.

"Kamek pun dah begegar tangan tuk kotan lamak gilak sik megang kail...." balas saya menyusuri susunan ayat gian yang tak keruan. Itulah hakikat penangan hobi memancing ni. Begitulah kami berdua terus bercerita tentang bab memancing hingga hampir mencecah ke magrib.

Semakin tak sabar rasanya menunggu 28 Mei, tarikh yang telah ditempah oleh jiran saya untuk menduga perairan Santubong keatas hingga ke tempat karang yang dikenali sebagai Trengganu yang khabarnya tenggiri batang sedang ligat bermain di kawasan tersebut. Begitu juga dengan ikan merah Red Emperor dan blokok serta ebek bersaiz bagak. Semuanya mengundang rindu di hati saya untuk mendengar bingit jeritan kekili joran ketika di sentap ikan berskala besar. Rindu juga untuk berlawan tarik tali dengan sang blokok ketika jigging yang merupakan cara terkini memancing yang telah diperkenalkan oleh orang Jepun dan semakin popular di sini.








Khamis, 19 Mei 2011

Jual jagung tunuk (Jagung Bakar)

Yaaaaah.....tuk baruk nya..........

Itulah kata-kata semangat dari beberapa pelanggan jagung bakar yang saya jual petang tadi. Tak sangka pulak ramai rupanya peminat jagung bakar ni. Dengan kata-kata semangat ini Insya Allah kalau tak ada aral esok lepas Jumaat bolehlah jual jagung bakar lagi....hehehehe.

Tak cukup dengan kata-kata atau tulisan...... gambar boleh menceritakan segala-galanya...kan kan.






Rabu, 18 Mei 2011

Kerja menyemak kertas peperiksaan pelajar........

Alhamdulillah......
Hari ini baru siap tanda kertas budak kat sekolah saya......itu baru yang tingkatan 4 punya... Alahai...Lepas ni tingkatan 5. Walaupun ianya kerja rutin seorang cikgu tetapi inilah bahagian yang paling memenatkan kepala otak seorang cikgu terutama kertas jawapan essei.

Berbalik kisah yang nak dicerita hari ni......lepas masukkan markah dalam senarai markah setiap kelas petang ni rasa nak buat pulut panggang lagilah. Rasa seronok pulak bila jual pulut panggang ni. Bukan nak untung sangat pun, tapi keseronokkan melihat pelanggan dapat merasai hasil air tangan kita yang boleh di kategorikan sebagai 'sedap' tu memberi semacam satu kepuasan dalam diri. Bukan apa.....prinsip saya dan isteri berjual depan rumah ni yang utamanya ialah "Apa yang paling sedap kita makan, itulah yang kita nak jual kepada orang. Biar sama merasa...." betul tak..

Dalam perjalanan balik dari sekolah tadi sempat jugak la beli dua gugus jagung madu dan cadangnya nak buat jagung bakar sekali. Masalahnya pulak, macam mana saya nak letak harga ni karang....dah la jagung madu ...mahal pulak tu....... Emmmm....agak-agaknya ada tak yang sanggup beli karang......ish..

Tak apa lah.....mari kita cuba dulu.....tapi yang penting, pulut panggang Belawai jadi keutamaan dulu....

"Mari..mari.... pulut panggang..pulut panggang...3 singgit, 3 singgit" masih terngiang-ngiang di corong telinga ini suara anak kesayangan saya si Reduan yang baru hampir mencecah 5 tahun melaungkan panggilan keramat seorang jurujual ketika kali pertama berjual pulut panggang pada hari selasa lepas sempena cuti Hari Wesak. Terburai hilai ketawa kami suami isteri dan jiran yang ikut berjual cendol pulut demi mendengar si Reduan melaungkan kalimah keramat itu. Semacam tak percaya saya mendengarnya....entah dari mana dia kutip dan yang lucunya lagi siap dengan mimik muka macam tauke cina jual buah mata kucing kat Petaling Street lagaknya dengan kipas di tangan.......Reduan...Reduan. Kalau sekali fikir macam mendera anak pulak tapi dari sudut yang lain sebenarnya ia melatih dia berjinak-jinak dengan sifat-sifat keusahawanan.


Gerai depan rumah saya......meniaga kecil-kecilan.....heh heh


Ni la...si Reduan saya yang sedikit pemalu bila saya ambik gambar.

Setakat ni dulu. Insya Allah sambung lagi....

Salam perkenalan dan salam buka rumah.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...dan salam satu Malaysia buat semua.....

Alhamdulillah......

Tanggal 18 Mei 2011 ini akhirnya berjaya juga saya membina blog ini sebagai permulaan untuk saya menulis. Terima kasih kepada Blogger kerana menyediakan tapak sebegini buat insan kerdil dalam dunia penulisan sebegini. Di harapkan dengan adanya blog ini akan menjadi wadah untuk menimba ilmu dan berkongsi idea dalam apa sahaja subjek yang berkisar di sisi kita dewasa ini.

Kepada rakan-rakan dan bakal-bakal rakan sudi-sudilah kita berkongsi idea dan pengalaman serta buah fikiran melalui blog yang tak seberapa ini.

Selamat berblog kepada semua dan jadilah blogger yang matang dan sopan.....

Sekian. wassalam.