Rabu, 9 Disember 2015

Tambah koleksi pokok Tin

 


Untuk menambah bilangan pokok Tin yang ada, suatu kaedah iaitu kaedah tut telah dibuat demi untuk memastikan kelangsungan hidup pokok Tin saya. Dengan segala pengalaman yang ada dan ditambah dengan maklumat dari uncle Google, saya berjaya menggandakan bilangan pokok. Selain dari itu, saya juga telah menambah koleksi varieties Fig dengan membeli anak tut dari rakan-rakan dari Semenanjung. Antara nama-nama yang pernah menjadi rujukan dalam urusan jual beli anak benih ialah seperti tuan Hilmy, tuan Pauzan, tuan Zulqhair, tuan Sheikh al Haq, Mak Tam dan ramai lagi samada dalam bentuk tut, cutting ataupun bareroot.


Dari Archipal bertambah variety kepada Red Khurtmani, Black Mission, Green Jordan, Alma, Black Ganoa, Vasilika Malissi, Taiwan Hybrid dan lain-lain lagi. Dalam banyak-banyak variety tersebut tidak dinafikan ada juga yang dah padam dan dah jadi kayu api pun tak kurang banyaknya terutamanya cutting.....hadoyai...setengah nak menangis jugak dibuatnya bila mengenangkan modal yang agak besar lebur begitu sahaja. Itulah perit jerih bila terjebak dengan Fig ni atau lebih dikenali sebagai DTK (demam tak kebah).


 

 

Selasa, 8 Disember 2015

POKOK TIN JADI PERHATIAN

April 2014 bermulanya saya diperkenalkan dengan sejenis tanaman yang sebelum ini tidak pernah saya lihat di bumi Malaysia ini apatah lagi di bumi Sarawak ini. Pada awalnya saya sangkakan ia adalah pokok betik kemetot....tetapi rupa-rupanya pokok buah Tin atau Fig dalam bahasa Inggeris.

     Puan Sonny merupakan orang pertama memperkenalkan kepada saya pokok barakah ini. Asalnya Pn. Sonny adalah pelanggan yang membeli anak pokok anggur saya ketika itu. Sifatnya yang ramah telah membawa saya ke rumahnya yang berada di taman perumahan yang sama tetapi berbeza Fasa. Di rumah beliaulah saya telah jatuh cinta dengan pokok Tin ini. Pokok Tin pertama yang saya beli dari beliau ialah pokok Tin Telinga Gajah atau Ficus Agriculata yang juga disebut sebagai Ara Mekah. Bayangkan betapa besarnya daun Ara Mekah seperti dalam gambar dibawah ini.

Juga disebut Ara Telinga Gajah
Ficus Agriculata
Daunnya besar

 Malangnya sebelum sempat berbuah, pokok tersebut telah tumbang ditiup angin kencang suatu petang menyebabkan pokok tersebut mati dalam beberapa minggu berikutnya. Selepas itu saya beli lagi anak pokok dari puan Sonny tetapi kali ini dari jenis yang lain pula. Jenis ini disebut sebagai Ficus Carica.
Ficus Carica
Selang beberapa ketika selepas itu saya terpandang anak pokok Ficus Carica di pasar Satok (baru berpindah) dijual oleh nyonya dengan harga RM 48.00. Minat punya pasal terus saya beli walaupun ketika itu harga tersebut agak mahal pada pandangan saya. Pokok tersebut saya jaga dan tanam dalam pasu yang sederhana besar. Dalam masa lebih kurang 3 bulan saya amat teruja apabila pokok tin mula berputik atau bermata ketam dalam istilah penanam-penanam pokok barakah ini. Archipal... itulah nama jenis buah tin tersebut seperti yang diperkenalkan oleh nyonya tadi.
Subur
'mata ketam'
 
Keterujaan saya semakin meningkat apabila putik buah semakin membesar dan dalam masa tiga bulan selepas berputik tersebut merupakan tempoh penyiksaan jiwa dan raga atas desakan perasaan ingin melihat buah Tin tersebut masak ranum. Yang paling mencabar batas kesabaran ialah keinginan untuk merasa buah Tin yang segar. Akhirnya dalam tempoh hampir 7 bulan barulah dapat merasa keenakan buah Tin yang pertama dalam hidup saya.




Rasa dia...emmmm... manis berlemak dan juicy.